Thursday, January 22, 2009

Ukhuwah Fillah Abadan Abada

'Maafkan saya bang, saya dah tak mampu nak join kawan-kawan lain untuk ikut program lagi. Saya nak…’ Hassan mengeluh panjang dan berat, sambil menahan gejolak hatinya yang kencang. Berat sekali untuk meneruskan kata-kata yang hendak dia ucapkan kepada murabbinya. Namun, dia benar-benar merasakan dia tidak mampu untuk bersama-sama dengan jemaah dakwah yang ia sertai selama ini.

Fikiran Hassan menerawang jauh mengenangkan detik-detik awal dia memasuki dunia dakwah. Hassan akui bahawa tarbiyahnya yang selama ini dia ikuti memberi impak yang sangat besar kepada pembentukan peribadinya. Dia mampu mengubah penampilannya secara sempurna kerana tarbiyahnya dan dia juga temukan keindahan ukhuwah dengan tarbiyah, bahkan dia mampu ‘bekerja’ sekarang kerana tarbiyah. Tapi saat ini, keindahan ukhwah yang dulu pernah dia rasakan terasa begitu hambar. Kemesraan dan kecintaan yang dibina bersama teman-teman se halaqah sudah mula memudar. Hassan merasakan teman-temannya terlalu cepat berjalan dan dia tertinggal jauh. Mereka begitu sibuk dengan amanah dakwah masing-masing, sementara pada waktu yang sama dia berasa tenggelam, malas dan letih dengan semua itu. Dia pun tidak tahu mengapa.

Dia ingin teman-temannya mengerti kelemahan jiwanya dan membantunya keluar daripada jeratan-jeratan maksiat yang menjadi asbab kepada kemunduran semangatnya. Namun ketika dia mahu meluahkannya kepada mereka, dia lantas berasa sangat malu. Teman-temannya asyik membincangkan masalah dakwah bersama murabbinya membuatkan Hassan sukar untuk mengucapkannya. ‘Ala.. masalah kecik je, diorang mesti rasa buang masa je untuk cerita’, begitu fikirnya. Akhirnya dia tenggelam keseorangan menelan permasalahannya sehinggalah dia mencari teman-teman di luar komuniti dakwahnya untuk sekadar melabuhkan masalah yang terkubu di dalam hati.

Fenomena di atas bukanlah sesuatu yang mustahil dalam putaran dakwah. Jatuh bangunnya aktivis dakwah dalam meniti jalan ini, fenomena futurnya iman serta keguguran jundi-jundi dakwah adalah biasa dalam perjuangan ini. Itu adalah sunnatullah. ‘Imanu Yazid way an quz- Iman itu naik dan turun’. Akan tetapi yang patut disesalkan adalah ketika jatuhnya aktivis dakwah ini, ia bukan kerana mereka tidak mahu bangun dan kembali bersama dakwah, tetapi kerana orang-orang yang disekelilingnya tidak mahu membantunya bangkit semula bahkan tidak peduli sama sekali kalau saudaranya sedang terjatuh. Inilah yang patut direnungi bersama. Kisah Hassan adalah satu contoh.

Kadang-kadang seorang murabbi itu merasakan bahawa anak-anak buahnya sangat bagus sekali, mendengar pengisian dengan teliti dan bersemangat, mencatat nota dengan rapi, kemudian pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Tiada sebarang masalah. Padahal di sebalik penampilan yang bagus di hadapan murabbinya, ada jurang kemaksiatan yang dilakukan tanpa pengetahunnya. Anak buah seterusnya mahu mengundur diri dan merasa diri tidak setanding dengan teman-teman halaqahnya.

Kuncinya di sini adalah dengan berterus-terang. Mutu sesebuah halaqah itu sangat bergantung kuat pada kualiti dialog yang dibina di dalam halaqah itu. Tidak mungkin dialog-dialog itu mampu berlaku dengan baiknya jika tidak adanya keterbukaan pada jiwa individu yang ada didalam halaqah tersebut. Keterbukaan di sini adalah berterus terang dalam menyampaikan segala permasalahan walau sekecil manapun masalah itu. Jangan memandang enteng sesuatu masalah itu jika itu memang memerlukan penyelesaian. Bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad’unya telah menjadi kader-kader yang tidak mungkin jatuh tatkala ketika tersadung batu ujian.

Lihat sahaja kisah keterbukaan Kaab bin Malik semasa perang Tabuk kepada Rasulullah saw. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas! Namun dia bersimpuh di hadapan Rasulullah saw sambil berkata, "Wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir Allahswt akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu…” Apa yang ditonjolkan Kaab sudah cukup menjadi renungan kita semua akan erti keterbukaan,berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya.Ketika seorang mad’u berterus terang akan kesalahannya, maka akan legalah hati walaupun mungkin ianya memalukan.

Di saat itulah motivasi rohani daripada murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk membantu dan mengembalikannya semula kepada langkah yang sudah ditinggalkan. Eratkan kembali ukhwah. Satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seorang individu dalam tarbiyah adalah ukhwah. Kadang-kadang kerana kesibukan yang mencengkam, hak-hak ukhwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita menjadi terabai. Maka wajarlah apabila kita rasakan sewaktu berprogram atau pertemuan rutin seperti menjadi kering tanpa makna. Kosong!

Perkara sebegini haruslah diatasi.Sesibuk manapun kita dengan aktiviti yang dilakukan, hak-hak ukhwah harus tetap kita berikan. Berwajah ceria ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya,masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh merasakan sifat empati terhadap permasalahan saudara kita. Saling nasihat menasihati baik diminta ataupun tidak, saling bertukar-tukar hadiah dan saling mendoakan doa rabithah.

Andai kesemua hak-hak ukhwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk gugurnya sahabat-sahabat kita di atas jalan dakwah ini, insyaAllah. Akhirnya saudaraku, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan ilmu dan bahan, tetapi adalah proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Dan lebih dari itu, langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itulah yang menjadikan kita mengerti akan hakikat hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya bermula dari tarbiyah.

Wallahua'lam...

Atas Jalan Ini ...

Dalam antara kita yang ingin mengajak ke arah kebaikan,ada yang mungkin akan tumpas atau pun dengan kata lainnya berhenti dari medan da`wah seperti mana Ustaz Hassan Hudaybi menyatakan:

Da`wah ini akan berjalan dan bergerak sama ada dengan kita atau tanpa kita. Seorang aktivis da`wah tidak perlu sedih sekiranya tidak nampak hasil. Allah melihat usaha kita. Pengasas empayar Rom tidak sempat melihat kejayaan nya kerana Rom itu terbina dalam masa yang lama. Kalau sang pengasas itu juangnya semata-mata untuk melihat hasil daripada usaha itu berada dalam hayatnya, maka usahanya mungkin sekali usaha yang tergopoh gapah tanpa perancangan yang kukuh.

Sahabatku,
Usaha anda mungkin tidak akan nampak hasilnya dalam hayat kita ini. Tetapi insya allah akan membawa hasil kerana jalan yang kita bawa adalah kesinambungan jalan Rasulullah dan para salafussoleh. Bukankah dalam surah Al-Fussilat ayat ke 33 Allah mengungkapkan

“Siapakah yang paling baik seruannya berbanding orang yang mengajak kepada Allah”.

Sahabat,
Dalam menjalani hidup,kita tidak akan lari daripada segala jenis cabaran. Al Quran sendiri perlu kita kaji dimana dinyatakan

“Adakah manusia itu menyatakan dirinya beriman sedangkan dia belum lagi diuji?”.

Maka ujian dan cabaran itu adalah penyukat terhadap kita. Sebagaimana kita mahu mendapatkan kualiti ISO atau SIRIM pun sesuatu produk itu perlu diuji, kita juga merupakan produk. Produk seorang Muslim untuk diuji sama ada kita ini seorang Mu`min sejati atau bukan. Ada pepatah asing mengatakan, “Tea shows it flavor in hot water“.

Maka dapat kita ambil pengajaran bahawa dalam cabaran itu, kita mampu membina diri kita dan mencari serta memperbaiki kelemahan diri. Anda bayangkan tentang pedang. Diciptakan pedang itu dari besi yang dipanaskan dan ditempa dengan ketukan untuk menempanya. Lalu menjadi pedang yang tajam yang berguna. Begitu juga manusia. Anggap saja manusia ini sebagai besi yang belum ditempa. Ketukan dan kepanasan yang amat tinggi itu adalah cabaran bagi kita dan produknya adalah seorang Mukmin yang berkualiti. Yang bukan sahaja baik pada akhlak dan imannya tetapi turut sukses dalam kehidupan.

Bukankah Islam ini menyuruh kita untuk berjaya dalam pelbagai segi. Tidak cukup untuk kita baik perangai kita sendiri sahaja. Perlunya kita cemerlang dalam ilmu, ekonomi dan kekuatan. Dan juga perlu kita seru orang lain. Sebagai contoh, perumpamaan dalam buku tulisan Muhammad Qutb,

“ Masyarakat ini ibarat sebuah bahtera lalu wujudnya segolongan yang ingin membocorkan lantai bahtera itu, sedangkan kita hanya melihat. Akhirnya kita sama - sama tenggelam.”

Justeru, hal inilah yang terjadi dalam fenomena sekarang! Kita melihat orang melakukan kemungkaran tetapi tidak langsung ingin menghalang. Alasannya, jangan jaga tepi kain dan itu bukan hal dan masalah kita. Namun akhirnya penyakit ini membarah dan merosakkan masyarakat sehingga ahli keluarga kita sendiri. Sekarang, ADAKAH INI JUGA BUKAN MASALAH KITA??.

Masalahnya, bilamana umat ini hanya menganggap Islam itu sebagai agama ritual. Yang setiap perlakuannya hanya adat dan budaya serta ibadat ritual, tiada pengertian lebih dari itu. Sedangkan Islam ini bukan ibadat sahaja. Kehidupan kia seharian dari kita memulakan hari kita perlu dalam kehidupan Islam dari segi pentadbiran, pergaulan, pendidikan dan lain-lain.

Merujuk kepada artikel tulisan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin dalam penulisannya, dia mengatakan yang golongan agama ini dilabel dengan orang yang selalu berjalan lambat, tetapi cepat bila ada majlis kenduri, dan cepat juga pulang bila tamat kenduri, berselisih sama ada daging korban wajar diberi kepada bukan Islam atau tak. Sedangkan umat bukan Islam telah maju kedepan dengan teknologi. Dalam zaman ini, kita seakan kembali ke zaman jahiliah dimana kesedaran bahawa Islam itu sebagai jalan hidup amat nipis sekali.

Dimana Jahiliah moden ini menganggap bahawa Islam itu hanya ritual. Hanya ibadah ritual dilakukan seharian. Hidup bekerja dan berkeluarga perlu ikut konsep lain dan bukan Islam.Ini suatu pemikiran yang mematikan.Tidak salah untuk kita mengambil konsep yang dibawakan kerna ia juga adalah ilmu yang berharga. Tetapi,bukankah sewajarnya kita berpaksikan kepada kehidupan yang menjadikan Islam itu sebagai jalan hidup dari semua segi.

Kejayaan cendekiawan Islam dahulu bukan hanya sekdar cerita dongeng semata. Itu adalah realiti sebenar. Tambahan pula,ada sebab kenapa mereka berjaya. Ini kerana, mereka menjadikan Islam ini sebagai jalan hidup bukan sebagai ritual. Jadi permulaannya, kita perlu membawa umat ini memahami erti shahadah itu sendiri. Dari satu kalimat ke satu kalimat. Bilamana kefahaman terhadap aqidah itu wujud dimana menerima konsep Tiada illah selain ALLAH, dan ini senang sekali membawa kepada da`wah berkaitan kehidupan seharian.

Contohnya, kenapa perlu bertudung,kenapa perlu menjaga pergaulan, kenapa perlu nya negara Islam, kenapa itu dan ini. Semuanya sudah ada jawapan kalau kita menerima konsep shahadah itu. Bukan maksudnya menerima itu sekadar melafazkan tetapi memahami dengan sebetulnya apa yang terkandung dalam shahadah. Bilamana kefahaman itu tiada maka terlampau banyak soalan yang bakal menjadikan kita lelah untuk menjawab. Semua perkara yang dipersoalkan akan perlu kita jawab.

Yang terbaru, Syed Tantawi dikecam kerana bersalam dengan shimon peres. Syed tantawi adalah ulama yang hebat. Pasti dia sudah berijitihad dengan sungguh-sungguh. Kita tidak bersalam dengan yahudi pun, mereka tetap menindas saudara kita di Palestin. Bukankah dari penat berbalah dan mengecam seseorang, kita berusaha menyemaikan kefahaman tentang Islam kedalam hati orang Islam itu sendiri yangt tidak akan muncul macam-macam bantahan lagi seperti pengharaman yoga, tidak boleh pakai seluar bagi perempuan dan sebagainya yang dipersoalkan. Walhal,itu semua adalah ranting-ranting.

Padahal pokok asasnya tidak kita perbetulkan dan fahami dengan sebaiknya. Kita potong ranting, ranting baru akan muncul. Tetapi kalau kita potong pokok tu terus, masalah akan selesai. Oleh itu, pokoknya adalah kefahaman.

Wallahua'lam ....

Wednesday, January 21, 2009

Perkataan Syukur Yang Dilupai

Ya Allah..Alhamdulillah, aku seorang Muslim
Ya Allah..Alhamdulillah, aku hidup sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat bernafas sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku sihat sekarang
Ya Allah..Alhamdulillah, aku sempurna fizikal
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada rumah
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada ibu dan bapa
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat makan
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat minum
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat pakaian
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada kerja
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat bersekolah
Ya Allah..Alhamdulillah, aku hidup dalam keadaan aman
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat berhibur (cara yang terbatas)
Ya Allah..Alhamdulillah, aku ada sahabat
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat tidur dengan nyenyak
Ya Allah..Alhamdulillah, aku dapat menikmati udara segar
Ya Allah..Alhamdulillah
Ya Allah..Alhamdulillah!

Fikirkan, ramai manusia yang mengakui dia Islam, tetapi, adakah dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam? Adakah hidupnya mengikut cara Islam? Solat 5 waktu? Puasa? Baca Al-Quran? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini? Fikirkan, kita sedang bernafas sekarang, adakah kita gunakan hayat kita dengan sebaiknya? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini? Fikirkan, kita sihat, tanpa penyakit buat masa sekarang, adakah kita gunakan masa sihat kita dengan sebaiknya? Dan adakah kita marah atau mengeluh dengan Allah jika kita ada penyakit? Ingat, penyakit merupakan tanda kasih Allah supaya kita ingat pada-Nya..SubhanAllah.. Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?

Fikirkan, kita ada rumah, makanan, minuman,pakaian dan pelbagai nikmat dari segi harta.. adakah kita makan dan minum, kita mulakan dengan Bismillah? Adakah kita menutup aurat ketika berpakaian dan kerana Allah Ta’ala? Adakah kita berhias mengikut cara Islam? Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?

Fikirkan, kita dapat berhibur (melalui cara terbatas), tetapi kadang-kadang kita terlupa, terlebih berhibur, lalai dan leka..

Fikirkan, kita hidup di Malaysia..negara yang aman daripada peperangan (tidak termasuk perang politik). Kita dapat tidur dengan nyenyak, tiada bunyi bom, pistol dan segala jenis senjata. Tidak seperti di Iraq, Bosnia dan sebagainya. Adakah kita bersyukur dengan nikmat ini?

Seperti dalam Surah Ar-Rahman..Allah menekankan ayat ini sebanyak 31 kali. ”Maka nikmat Tuhan kamu yang mana satukah yang kamu dustakan?” (Surah Ar-Rahman)

Kerana manusia itu mudah lupa, lalai dan leka dengan nikmat Allah yang terlalu banyak ini sehingga tidak terkira. Kadang-kadang kita lupa nak ucapkan: "Terima kasih ya Allah! Terima Kasih! Alhamdulillah, nikmat yang Engkau berikan kepada ku amat banyak! Syukran ya Allah!"

Kadang-kadang kita lupa nak berterima kasih kepada Allah dengan cara beribadah kepada-Nya..kita lupa...lalai.. Kadang-kadang kita terlalu banyak merungut, ”kenapa aku tak dapat yang ini? Kenapa Allah kasi aku yang ini?!” Tetapi kita tidak sedar, kita tak tanamkan dalam diri bahawa Allah itu Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya..

Kadang-kadang kita tidak sedar, Allah hanya meminjamkan kekayaan Dia kepada kita, tetapi kita? Dengan kekayaan itulah kita gunakan untuk menentang Tuhan Yang menciptakan alam ini.. Na’uzubillah..

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita muhasabah diri masing-masing..Ini juga peringatan buat saya hamba yang khilaf.

Wallahu’alam..

Wednesday, January 14, 2009

Muslim Ilusi VS Yahudi Realiti

Menjawab persoalan mengapa umat islam tidak dapat berbuat apa-apa dikala pengganasan yahudi berleluasa, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Nasrani sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.

Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?

Muslim ilusi berdepan dengan Nasrani realiti.

Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.

Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.

Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Berpecah belah hanya kerana secawan kopi. Pecah belah rumahtangga, pecah belah jiran tetangga, pecah belah masyarakat sedesa, pecah belah antara negara, perpecahan kita dari hujung daun hingga ke akar umbi.

Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.

Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.

Tragedi di Gaza adalah seruan Allah untuk kita kembali kepada Islam.

Islam yang tulen.

Ibu bapa didiklah anak menjadi Muslim, jangan dibiarkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.
Kenalkan kepada anak-anak kita apa itu Islam dan apa itu Jahiliyyah. Fahamkan mereka siapa Yahudi dan Nasrani dan mengapa mereka dikutuk Allah. Ajarlah anak-anak mencintai kebenaran, keadilan dan memusuhi kezaliman. Agar dengan jiwa tulen seorang putera Muslim dan puteri Muslimah, Yahudi tulen akan dikalahkan oleh Muslim tulen.

Dipetik dari artikel : Khutbah Palestin Memanggil Kamu Pulang Kepada Islam

Qunut Nazilah


Tuesday, January 13, 2009

Palestin : Jangan Kita Berhenti Berusaha

Setiap hari membelek berita berkenaan Palestin, setiap hari rasa pedih dan adakalanya terasa seolah tidak mahu mendengar sebentar laporan berita berkenaannya kerana sukar menahan rasa sakitnya. Sudah hari kesepuluh dan serangan semakin ganas. Sekitar 550 orang Palestin telah diragut nyawanya termasuk kanak-kanak dan wanita serta orang awam, manakala seramai 2500 lagi cedera.

Bekalan ubatan, makanan dan perkara asas semakin kurang. Hospital dan doktor amat terhad dan laporan berita menyatakan ada doktor yang tidak sempat tidur sama sekali. Palestin pula telah terbahagi kepada tiga bahagian, kiri dan kanan telah mula ditembusi oleh Yahudi, hanya bahagian tengah masih belum berjaya ditembusi. Jelas, mereka sedang melakukan penjajahan secara fizikal dan menghilang Palestin dari peta dunia!

Persoalan utama sekarang, apa lagi yang boleh bantu yang benar-benar dikira membantu?? Satu soalan yang saya sendiri turut kerap menyoal diri ini. Saya tiada jawapan yang melegakan, atau jawapan yang membuatkan anda terperanjat kerana ‘di luar kotak'. Namun bagi saya, kita semua boleh membantu berdasarkan rasa kemampuan masing-masing. Siapa boleh lebih, buat lebih, siapa hanya mampu yang kurang, buat jugalah. Keadaan manusia yang berbeza-beza dalam kemampuan ini diiktiraf sendiri oleh Nabi akan kewujudannya. Justeru, jangan harapkan semua orang mampu menjadi terlalu ‘berani seperti anda, terlalu ‘pemurah' seperti anda, terlalu ‘berjasa' seperti anda. Nabi s.a.w bersabda dalam hadis yang sangat popular. Erti : Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mencegah dengan tangannya, barangsiapa yang tidakmampu, cegahlah dengan lisannya (perkataan dan tulisan), barangsiapa yang tidak mampu, cegahlah dengan hatinya (iaitu dengan rasa benci)"

USAHA KITA : PILIHLAH

Natijahnya, pilihlah salah satu atau lebih dari satu dari tindakan di bawah untuk membantu saudara kita di Palestin yang dijajah dan Palestin yang sedang cuba dijajah.

1) Bantuan tenaga dan diri ; Pergilah ke medan di Palestin, jika anda ada cara, kemampuan dan keikhlasan. Sama ada untuk membantu menghantar bantuan kemanusian, perubatan, psikologi atau yang lebih dahsyat dari itu dari segi fizikalnya..

2) Bantuan Harta : Bagi yang tidak mampu pergi ; sumbanglah bantaun kewangan atau pakaian dan lainnya kepada badan yang dipercayai lagi berwibawa di tempat anda. Agar bantuan tersebut boleh sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita. Cuaca sejuk kini tidak menentu, di UK kami ditimpa cuaca sejuk luar biasa sehingga (negatif 10) atau -10 darjah celcius. Palestin juga berada dalam cuaca sejuk, sekitar di bawah 10 celcius di sebelah malam

3) Bantuan Doa ; Bagi yang tidak mampu memberi kedua-dua bantuan di atas, atau termasuk juga merkea yang mampu, teruskan berdoa untuk keselamatan rakyat Palestin, Iraq dan umat Islam, doakan bala bagi Yahudi, pemimpin Amerika dan rakyatnya yang menyokong, pemimpin Mesir dan sekutunya-sekutu mereka yang membuka jalan dan menyokong serangan pengganas Yahudi ini. Doa anda boleh bacanya sebagai :

A: Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu anda, anda dibenarkan untuk memegang kertas doa semasa qunut tersebut kerana tentunya sukar untuk menghafalnya. Itu tidak membatalkan solat dalam semua mazhab termasuk mazhab Syafie kerana andatidak bergerak besar berturut-turt sebanyak tiga kali. Hanya angkat sekali kertas doa, berhenti sebenar kerana membaca, kemduain terus turun sujud, tiada berturut-turut.

B: Doa semasa sujud dalam setiap solat. Ia lebih maqbul berdasarkan nas yang sohih.

C: Khatib bacalah doa untuk Palestin di hujung khutbah Jumaat. D: Dan banyak lagi waktu doa maqbul.

4) Solat Hajat ; Bagi mereka yang berpegang kepada bolehnya dilakukan solat hajat sama ada secara individu atau berjemaah. Anda turut boleh meneruskannya.

5) Menyertai Demonstrasi Aman : Sertailah ia dengan aman dan makmurkannya, namun jangan lupa juga memakmurkan masjid di kala Subuh dan waktu-waktu lain.

6) Menulis ; Tulislah di blog, web, forum anda, ruangan akhbar, majalah yahoogroup dan lainnya, buatkanlah kajian ringkas dan permudahkan penyampaian info kepada orang ramai berkenaan kezaliman Yahudi terhadap Palestin dan sekutu-sekutu mereka.

7) Ceramah ; anda mampu ceramah? berikanlah ceramah berkaitan isu ini atau hadirkanlah diri ke ceramah berkaitannya di tempat anda.Anda tidak semestinya seorang ustaz/ah untuk ceramah dalam bab ini, wartawan pun boleh.

8) Boikot : perkukuhkan boikot barangan Yahudi dan Amerika di ketika ini. Hantarlah surat dan bantahan, petition, memorandum kepada kedutaan Amerika, Mesir dan sekutu jahat mereka. Pelajar Al-Azhar, kami mendambakan tindakan dan usaha anda terhadap kerajaan Mesir.

TINGKATKAN KEPEDULIAN

Tingkatkan kepedulian kita terhadap nasib saudara kita umat Islam. Jangan dirasakan usaha kita sangat kerdil, tidak mampu memberi sebarang kesan. Yakinilah bantuan Allah, sangka baiklah dengan Allah, nescaya Allah bersama hambaNya yang bersangka baik dan taatinya. Sebagai sebuah hadis qudsi ertinya: Allah menyebut : "Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, dan aku bersama mereka apabila mereka mengingatiKu "(Riwayat Muslim)

Sebahagian riwayat lain pula berbunyi yang bererti : "Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik, maka akan ditunaikan, jika mereka bersangka buruk, turut akan ditunaikan "( Riwayat Ahmad, Ibn HIbban)

AMERIKA SUDAH SAKIT, BERIKAN HADIAH KEEGOANNYA!

Keegoan dan keangkuhan Amerika dalam bidang ekonomi sedang jatuh merudum, hari ini berita BBC melaporkan Presiden dipilih, Barrack Obama mengatakan ekonomi USA sedang ‘SANGAT SAKIT' dan sangat serius masalahnya. Rakyat Amerika yang kehilangan kerja semakin ramai. Obama sedang pening kepala masa plannya untuk USA, Bush bukan main seronok dengan Yahudinya. Jualan kereta di US pula kini diratah serangan virus kegawatan ekonomi apabila jualannya jatuh paling teruk sejak 1992. Jualan di pasaran Detroit Three jatuh 50 % buat pertama kalinya. Chrysler pula rugi dengan kejatuhan jualan sebanyak 53 % ,manakala jualan Toyota, Honda, GM dan Ford jatuh 31 ke 37 peratus.

Seorang rakan warganegara Amerika di sini memberitahu kami bahawa Bush sedang merancang Amerika menyertai perang, itu adalah salah satu jalan agar perlantikan rasmi Obama sebagai Presiden UA pada 20 Januari 2009 terpaksa ditangguh, kerana demikian menurut undang-undangnya. Iaitu jika US sedang dalam peperangan, Presiden yang sedang menerajui akan kekal. Kami tiadalah mengetahui sejauh mana benarnya ramalan atau analisa ini. Cuma ini mungkin salah satu sebab Obama dan rakannya, senyap sunyi menggelak dari memberi komen dalam isu Palestin. Namun saya kira, mungkin hasrat Bush sedikit terganggu kerana untuk berperang Amerika perlukan berbillion US, bagaimana ia boleh sedang dalam ekonomi yang sanagt sakit dan teruk.?

MUJUR BRITAIN SEDANG PARAH, TAK LARAT BERSUARA

Kalau sebelum ini yang tidak kurang bengisnya adalah Britain, sebagaimana dalam kes Iraq, namun, kini UK agak senyap sunyi sikit, Alhamdulillah. Mengapa? Jika Amerika sedang merudum dengan laju teruknya, UK setiap hari berita parahnya semakin menjalar, sehingga nilai Pound Sterling jatuh menjunam hampir sama malah pernah lebih rendah daripada matawang Euro. Kes buang kerja tidak henti-henti, pasaraya dan syarikat besar satu demi satu bungkus seperti Woolworths, MFI dan banyak lagi, menghidangkan kebanjiran pengganggur. Ditambah dengan cuaca sejuk luar biasa, Sehingga kami yang berada di sini turut bimbang. Dan pada 6 Jan, Gordon brown bersetuju dengan cadangan rencatan senjata kedua belah pihak tetapi mengikut skima Bush, iaitu dengan pelbagai syarat yang tidak menyebelahi Palestin dan Hamas tentunya. Malah sebahagian syarat ini tidak mungkin dapat ditunaikan.

QUNUT NAZILAH

Berikut adalah cadangan Qunut Nazilah dengan baris yang telah saya usahakan barisnya dan ertinya, agar boleh dibaca oleh orang ramai. Maksudnya :

"Ya Allah sesungguhnya kami memohon pertolongan dariMU dan kami beriman denganMu, dan kami bertawakkal kepada Mu, dan kami memuja Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufuriMU, Ya Allah hanya engkau yang kami sembah dan kepada Mu kami menunaikan solat dan bersujud, kepadaMu kami berusaha, kami mengharapkan rahmatMu dan kami takutkan azabMu, sesungguhnya azabMu yang pedih akan dikenakan kepada orang-orang yang kafir, Ya Allah azablah orang-orag kafir Ahli kitab yang menghalang-halangi dari jalanMU." .Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka. Wahai Tuhan kami, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyankanlah mereka. Wahai Tuhan kami, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan kereka), pecah belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhanMu, wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam, wahai Allah tuhan kami, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan dariMu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa. Ya Allah, bantulah muslimin dan pejuang Islam dalam petempurannya dengan Yahudi, Ya Allah bantulah kami untuk mengalahkan mereka di mana-mana sahaja, Ya Allah tunjukkanlah kepada mereka keajaiban kuasaMu, Ya Allah jadikanlah mereka boleh dibilang, dan bunuhlah mereka sebinasanya, dan janganlah engkau lepaskan mereka walau seorang. Ya Allah jadikanlah senjata dan harta mereka sebagai harta rampasan di tangan kaum Muslim, Ya Allah jadikanlah senjata mereka mengenai dada mereka sendiri, dan helah mereka mengenai tengkuk mereka, dan perancangan mereka penghancur mereka sendiri, Ya Allah jadikanlah para Malaikat membantu kaum Muslimin, Ya Allah tepatkanlah tembakan dan lontaran mereka Ya Allah hancurkanlah mereka sebagaimana engkau mengahncur kaum Iram dan ‘Ad , Ya Allah palulah mereka dengan paluan azaz kerana mereka telah melakukan kerosakan dalam negara dan membunuh para hambaMu. Ya Allah bantulah saudara kami di LUbnan, Palestin, Afghanistan, Iraq dan seluruh negara umat Islam.

* Ustaz Zaharuddin Abd Rahman merupakan pensyarah ekonomi di UIA Gombak. Berdakwah melalui penulisan di www.zaharuddin.net

Muhammad manusia paling berpengaruh

BUKU yang paling menjadi bacaan di seluruh dunia, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. (Terbitan New York: Carol Publishing Group/Citadel Press) karya Michael H. Hart yang diterbitkan pada 1978 telah menimbulkan kejutan apabila penulis meletakkan Nabi Muhammad SAW menduduki tempat paling teratas sebagai individu yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia!

Ramai yang mempersoalkan pemilihan beliau itu lebih-lebih lagi sebagai penulis Barat beliau sewajarnya menobatkan Nabi Isa a.s yang dikatakan mempunyai lebih ramai pengikut yang menganut Kristian.

Alasan Hart, Rasulullah melebihi Nabi Isa apabila didapati Baginda tidak sahaja sebagai pesuruh Allah dan nabi terakhir di muka bumi. Namun yang jelas Baginda mempunyai ketokohan yang sangat tinggi sebagai diplomat, ahli perniagaan, ahli falsafah, pemidato, pakar undang-undang, ahli pembaharuan dan pemimpin tentera serta ketua keluarga.

"Saya memilih Muhammad bagi mengetuai senarai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain.

"Akan tetapi Baginda merupakan satu-satunya dalam sejarah dunia yang mencapai kejayaan yang paling gemilang yang tidak sahaja dalam agama malah di peringkat sekular (dunia)," kata Hart.

Jika Hart mampu mengenali Rasulullah sebegini dekat, bermakna penulis buku ini begitu mengkaji seluruh sejarah riwayat hidup sehingga kewafatan Baginda.

Lebih-lebih lagi kepada umat Islam itu sendiri yang setiap kali mengucapkan kalimah syahadah mengakui sepenuh hati bahawa Baginda adalah pesuruh Allah, adakah mereka sendiri mengenali Baginda?

Belum terlambat apatah lagi dengan adanya sebuah buku yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 2004 yang kemudian di ulang cetak pada 2006 dan 2008.

Buku Sirah Nabawiyyah SAW setebal 733 halaman muka surat ini diterbitkan selepas memenangi Johan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah anjuran Rabitah Al Alam Al Islami.

Buku ini pada asalnya ditulis oleh pensyarah di Universiti Salafiyyah al Sheikh Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri yang diterbitkan oleh Dar al Basyir Tanta, Mesir yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Muhammad Ramzi Omar.

Tugas menterjemah sesungguhnya bukan mudah, tidak ramai yang sanggup mendepani cabaran dengan tanpa meninggalkan sepatah perkataan pun untuk diterjemah.

Namun ternyata Muhammad Ramzi mampu melaksanakan tugas sukar ini bagi membuktikan demi kecintaan kita terhadap Rasulullah, buku ini akhirnya berjaya dihasilkan.

Buku ini tidak menceritakan mengenai Baginda Rasulullah dari detik kelahirannya di muka bumi ini.

Namun penulis buku menjelaskan kepada pembaca mengenai peri pentingnya kepada mereka untuk mengetahui sejarah Tanah Arab itu sendiri terlebih dahulu.

Penulis perlu mengambil 'masa' sedikit, terutama mengenali bangsa Arab dan kerajaan-kerajaan awal yang memerintah di pelbagai wilayah di Semenanjung Arab.

Ini membawa kepada gambaran mengenai keadaan politik, ekonomi dan sosial bangsa tersebut sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Ini semua bagi membolehkan para pembaca menjadi lebih jelas dan memahami siapa sebenarnya bangsa Arab dan peristiwa-peristiwa yang sehingga membawa kepada turunnya agama Islam secara rasmi.

Begitupun di peringkat permulaan bagi mengambil apa yang disifatkan sebagai yang wajib tahu mengenai sirah Rasulullah dari buku ini, mungkin perlu dinukilkan terlebih dahulu mengenai Rasulullah secara fizikal.

Walaupun ramai mengetahui gambaran-gambaran wajah, tubuh dan keperibadian Baginda seperti diceritakan dari mulut ke mulut atau bahan bacaan, namun jarang terdapat ia diungkap dari mulut mereka yang pernah menemui atau yang sezaman dengan Rasulullah itu sendiri.
Anak angkat, menantu yang juga merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah dalam satu riwayat menceritakan mengenai Baginda.

Saidina Ali bin Abi Talib, berkata Nabi Muhammad, orangnya tidak tinggi melampai dan tidak terlalu rendah, ketinggiannya sederhana di kalangan orang lain. Rambut lebatnya tidak kerinting dan tidak juga lurus tetapi antara keduanya, tidak bermuka cengkung dan tidak tembam.
Mukanya bulat dan putih kemerahan.

Kalau dia berjalan di tanah maka diangkat kakinya tanpa menyeret ke bumi bagaikan sedang berjalan di tanah yang cerun.

Kalau Baginda berpaling maka beliau akan berpaling berserta badannya.

Antara dua belikatnya ada cap kenabian yang menunjukkan Baginda penyudah segala nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang rahib Nasrani, Bahira ketika baginda berusia 12 tahun dibawa bapa saudaranya, Abu Talib berdagang di Syam. "Sesungguhnya aku mengenalinya dengan cap kenabian di bawah tulang belikatnya seperti buah epal. Kami dapatinya ada disebutkan dalam kitab-kitab kami".

Sementara Ummu Ma'bad al Khuzaiyyah menceritakan mengenai Baginda kepada suaminya tatkala Rasulullah singgah di khemah mereka dalam hijrahnya.

"Seorang yang ketara keseriannya, putih mukanya, baik akhlaknya, tidak merasai beban oleh badan yang besar, tidak boleh diperlekehkan kerana kepalanya yang kecil, indah rupa paras dan menarik perhatian, luas dan tampak jelas mata putih dan mata hitamnya, rambutnya lebat, suaranya serak-serak basah, lehernya jinjang, mata hitamnya sangat ketara, tampak urat lengannya, alisnya nipis, kening bercantum dan rambutnya sangat hitam.

"Kalau Baginda diam nampak nyata kehebatannya dan kalau dia berbicara nampak nyata keterampilannya, manusia paling menawan dan paling menarik jika dipandang dari jauh, paling cantik dan manis dari dekat..." kata Ummu Ma'bad.

Al Barra berkata, Baginda ialah orang yang paling tampan wajahnya dan paling indah akhlaknya.
Al Rubayyi binti Mu'awwidh berkata; "Kalau engkau melihat Baginda, bagaikan engkau melihat matahari yang terbit".

Abu Hurairah pula berkata; "Tidak pernah ku melihat sesuatu pun yang lebih indah daripada Rasulullah bagaikan matahari berarak di mukanya. Tidak pernah aku lihat seorang yang lebih cepat berjalan daripada Rasulullah bagaikan bumi dilipatkan untuknya dan kami terpaksa mengagahi diri kami sedangkan Rasulullah berjalan bersahaja".

Tulisan yang diambil sebahagian daripada banyak lagi cerita mengenai gambaran fizikal Rasulullah dari bab terakhir di buku ini, tidak bertujuan memberikan ilham kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kepakaran dalam seni lukis bagi menghasilkan lukisan Rasulullah secara fizikal.

Ini kerana sebaik mana atau sehebat manapun potret yang dilakar tidak akan menyamai mengenai gambaran sebenar Rasulullah.

Selain perkara ini diharamkan dilakukan oleh mana-mana pihak.

Namun tidak lebih gambaran ini bagi menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah sebagaimana yang sering diungkap; "Dari mana datangnya cinta, dari mata jatuh ke hati!"
Terkadang sebelum kita berkongsi kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Rasulullah dalam tugas Baginda menyebarkan Islam perlu 'menampakkan' terlebih dahulu siapa Baginda.

Sirah Rasulullah bukan sebarang catatan memoir. Ini kerana jika Baginda diiktiraf sebagai manusia paling berpengaruh di muka bumi ini bererti penceritaan kisah dan sejarah Baginda bukan sebarangan.

Ini kerana al-Quran turut memaparkan segala kisah Rasulullah bagi mengesahkan segala kebenaran mengenai pesuruh Allah ini dan buku ini memperkayakan lagi khazanah pengetahuan mengenai Baginda.