Tuesday, August 12, 2008

Cara Islam Menanam Tata Rabbani dalam Jiwa dan Kehidupan Manusia

Oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Islam telah berusaha untuk menanamkan tata Rabbani kepada jiwa setiap Muslim di dalam kehidupannya melalui pelbagai cara.

Cara-cara tersebut ialah :

1. Melalui Jalan Ibadah

Melalui ibadah-ibadah wajib dan sunat yang digalakkan oleh Islam. Melalui pengulangan solah lima waktu setiap hari. Solat merupakan roh seperti roh yang ada pada setiap jasad. Ia sentiasa menemukan muslim dengan Allah SWT.

Tatkala manusia tenggelam dalam permasalahan hidup, maka bangunlah muazzin melaungkan kalimah Allahu Akbar, mempersaksikan hanya Allah SWT Ilah yang ditauhidkan dan Muhammad adalah Rasulullah, mengajak menunaikan solah pada waktunya dan mengajak kepada kemenangan yang hakiki. Lalu terangkatlah muslim dari kesibukan dunia untuk berhadapan dan mengadap Allah bagi beberapa waktu yang khusus. Solat akan mendorongnya untuk menyeru ke arah kebaikan diri dan umat. Solat mengangkat dirinya dari alam kebendaan ke alam keruhanian dan daripada keegoan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain.

Berpuasa sebulan yang diulangi pada setiap tahun juga menanamkan ruh rabbani ke dalam jiwa muslim. Ketika berpuasa, muslimin mengharamkan dirinya daripada terlalu menurut hawa nafsu samada ketika makan minum, hubungan jenis dan segala aktiviti kehidupan.

Setiap hari, bermula dari terbit fajar hingga jatuh matahari, merupakan tarbiyyah bagi kemahuan dan kehendak nafsu. Puasa melatih muslim untuk menuju taqwa demi mencapai kesempurnaan ibadah kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi, mafhumnya:

"Puasa itu kepunyaanKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya; hamba yang meninggalkan makanan keranaKu, hamba yang meninggalkan minuman keranaKu, hamba yang meninggalkan isteri keranaKu dan hamba yang meninggalkan kelazatan keranaKu."

Berzakat, dengan selalu mengeluarkan harta dapat menghapuskan sifat bakhil, membersihkan harta dan membersihkan jiwa. Disamping itu memupuk rasa syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat pemberianNya. Firman Allah SWT:

"Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan." - Surah at-Taubah: 103

Zakat mengandungi makna pembersihan, penumbuhan dan keberkatan. Manakala perkataan Dharibah (cukai) pula mengandungi makna pemaksaan, kekerasan dan hutang. Dengan demikian tuntutan Islam menunaikan zakat adalah secara suka rela dan redha meredhai serta memohon kepada Allah SWT dengan doa yang bermaksud:

"Ya Allah ! janganlah jadikan (zakat ini) sebagai barang rampasan tetapi jadikan (zakat ini) sebagai hutang."

Haji pula memisahkan seseorang Muslim dari tanah air, keluarga dan sanak saudara. Orang yang menunaikan haji berhijrah kepada Allah SWT, mengorbankan diri dan harta, menanggung beban perpisahan dan beberapa kesusahan kerana menunaikan kehendak Allah SWT hinggalah sampai ke Tanah Suci. Di Tanah Suci itu telah didirikan rumah ibadah pertama di muka bumi ini.

Di situ terdapat sejarah penghijrahan Nabi Ibrahim AS dan pengorbanan Nabi Ismail AS. Juga kesan-kesan peninggalan Nabi Muhammad SAW dan dakwah baginda.

Di Tanah Suci orang Islam dari pelbagai bangsa dan keturunan meninggalkan sesuatu yang melambangkan gejala-gejala perbezaan seperti kedudukan, pangkat, keturunan dan negeri. Mereka memakai pakaian seakan-akan kain kafan orang mati. Pakaian itu lahir semasa haji dan lebih tinggi kedudukannya. Muslim menghalakan segala hati, lisan, perasaan dan harapan kepada Allah SWT:

"Aku perkenankan seruanMu wahai Tuhanku, aku perkenankan seruanMu, yang tiada sekutu bagiMu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat adalah kepunyaanMu dan juga segala pemerintahan, Dan tiada sekutu bagiMu."

Ibadah fardhu yang asasi merupakan batasan minima yang mencorakkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Islam juga membuka pintu bagi seseorang melakukan amalan-amalan nawafil demi mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan perkara yang disukaiNya.

Antaranya solah-solah sunat di samping solah-solah wajib lima waktu, puasa-puasa sunat di samping puasa wajib Ramadhan, sadaqah-sadaqah di samping zakat yang wajib, umrah di samping haji yang wajib. Berdasarkan amalan-amalan ini, terjadilah perlumbaan di kalangan mereka yang ingin berlumba-lumba membuat kebaikan dan dahulu mendahului di kalangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam sebuah hadith Qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Tiada yang lebih sempurna taqarrub hambaKu kepadaKu kecuali dengan menunaikan fardhu-fardhu yang Aku wajibkan ke atasnya, hambaKu yang sering mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan Nawafil sehingga Aku senangi dan Aku cintai. Apabila Aku telah menyenanginya, Aku melindungi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, matanya yang dengannya ia melihat, tangannya yang dengannya ia mempergunakannya. Jika ia meminta perlindungan, Aku beri perlindungan kepadanya dan jika ia meminta sesuatu Aku beri kepadanya." - Hadith Riwayat Bukhari

BUKANLAH ibadah itu (samada fardhu atau sunat) hanya menghubungkan seseorang makhluk dengan Khaliknya semasa melakukan ibadah itu sahaja, selepas itu ia tidak lagi berhubung dengan Allah sehingga ia kekal atau kembali semula kepada kehidupan mengikut hawa nafsunya. Sama sekali tidak.

Peranan ibadah adalah menanamkan Islam ke dalam hati orang-orang yang menunaikannya, menanamkan taqwa kepada Allah SWT yang Maha Tinggi kedudukanNya, memberikan bekalan ingatan kepadaNya tatkala lupa, menguatkan azam tatkala lemah dan menerangi jalan hidup tatkala lampu-lampu yang menerangi kelilingnya menjadi malap atau padam.

Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di dalam masjid. Di dalam masjid ia ruku', sujud, bermunajat dan berdoa, tetapi apabila keluar dari masjid corak hidupmya berubah dari Insan Rabbani kepada Insan Haiwani atau Insan Syaitani.

Islam juga tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di bulan Ramadhan. Apabila hilang bulan Ramadhan maka hilanglah padanya sifat ibadah dan taat kepada Allah SWT. Seolah-olah ia menyembah bulan Ramadhan bukan Rabb bulan Ramadhan. Salaf as-Saleh di kalangan Umat Islam berkata,

"Jadilah orang-orang Rabbani, tetapi janganlah menjadi orang-orang yang hanya beribadat di bulan Ramadhan sahaja."

Islam juga tidak suka seseorang itu hanya menjadi Rabbani ketika ia berada di sisi Bait al Haram, Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masyair Muqaddasah. Apabila selesai sahaja ibadah haji maka selesailah sudah tuntutan umrah, haji dan ziarah. Apabila berkira bicara untuk pulang, maka ia lupa udara Rabbani serta makna Rabbani. Tenggelamlah ia di dalam perut kehidupan kebendaan sebagaimana tenggelamnya orang-orang yang lalai.

Islam tidak suka Muslim seperti ini. Islam menghendaki seseorang Muslim sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah di masjid, di jalan, di tempat kerja, di bulan Ramadhan dan di semua tempat serta keadaan. Rasulullah S.A.W. berpesan yang bermaksud:

"Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada." - Hadith Riwayat Tirmizi.

Firman Allah SWT:

“Dan kepunyaan Allah timur dan barat, maka ke mana kamu menghadap di situlah wajah Allah ." - Surah al-Baqarah: ayat 115.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

"Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit." - Hadith Riwayat Bukhari.

2. Melalui Jalan Akhlaq

Jalan seterusnya untuk menanam tata Rabbani ke dalam hati Muslim dan kehidupannya ialah melalui jalan akhlak assalimah. Akhlak lahir pada setiap ketika dalam kehidupan muslim samada yang merupakan tingkah laku individu atau masyarakat.

Islam mengambil kesempatan menghubungkan seseorang Muslim dengan Allah melalui akhlak seharian. Apabila ia duduk di hadapan hidangan makanan, ia dahulukan dengan menyebut nama Allah , Bismillahirrahmanirrahim. Allah SWT yang menyediakan sebab-sebab sehingga sampai rezeki yang halal kepadanya.

Apabila ia merasa kenyang dan beredar daripada hidangan maka disudahi pula dengan pujian kepada Allah , Alhamdu Lillah.

Apabila minum ia berkata (yang bermaksud):

"Segala pujian bagi Allah SWT yang menjadikan air seenak sungai Furat dengan rahmatNya dan tidak menjadikan air masin dan pahit dengan sebab-sebab dosa kami."

Apabila memakai pakaian ia berkata (yang bermaksud):

"Segala Pujian kepada Yang telah memberikan pakaian kepadaku. Wahai Rabbku, bahawasanya aku memohon kepadaMu daripada kebajikan pakaian ini dan daripada sesuatu pakaian ini dibuatkan untuknya. Dan aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan pakaian ini dan daripada kejahatan sesuatu yang pakaian ini dibuatkan untuknya."

Begitulah ia berdoa apabila memenfaatkan sesuatu nikmat pemberian Allah SWT.
Apabila ia menunggang binatang atau menaiki sebarang kenderaan ia berkata (yang bermaksud):

"Maha Suci Yang menggerakkan kenderaan ini untuk kita, pada hal sebenarnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menundukkannya dan bahawasanya kita pasti kembali kepada Rabb kita."

Apabila bersafar ia berkata (yang bermaksud):

"Wahai Rabb, Engkaulah teman di dalam safar ini dan Engkaulah yang menjadi pengganti penjaga keluargaku. Wahai Rabb temanilah kami di dalam safar kami dan lindungilah keluarga kami."

Dan apabila pulang dari safar ia berkata (yang bermaksud):

"Kami adalah orang yang kembali, orang yang bertaubat, orang yang beribadat, orang yang memuji Allah , Rabb kami."

Apabila meletakkan rusuknya untuk tidur ia berkata (yang maksudnya):

"Dengan nama Engkau, ya Rabbku, aku letakkan rusukku dengan nama Engkau dan dengan nama Engkau juga aku mengangkatnya."

Dan apabila bangun dari tidur untuk menaiki bahtera kehidupan ia berkata (yang bermaksud):

"Segala pujian bagi Allah yang telah menghidupkan aku sesudah mematikan aku dan kepadanya tempat kembali."

Malah ketika menyetubuhi isteri, seseorang Muslim masih mengingati unsur Rabbani, yang mengurangkan kerakusan dan membawa ia ke ufuk yang tinggi. Ia berkata (yang bermaksud):

"Dengan nama Allah , wahai Rabb, jauhilah kami daripada godaan Syaitan dan jauhkanlah pula daripada godaannya terhadap apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepada kami."

Begitulah kehidupan seorang Muslim. Ia tidak pernah lupa kepada Allah . Tidak pernah lalai dalam hubungan dengan Allah , malah merasa dekat denganNya dan jinak dengan-Nya. Tata rabbani sentiasa bersamanya ke mana sahaja ia pergi.

3. Melalui Jalan Pendidikan Dan Pembentukan

Jalan pendidikan dan pembentukan merupakan jalan yang paling penting dan berkesan.
Pendidikan hendaklah bermula di rumah, kemudian di sekolah. Tata rabbani hendaklah ditanam ke dalam fikiran anak-anak yang sedang membesar dengan menggunakan cara yang baik dan berhikmah.

Jika bapa merasai bertanggunjawab untuk menyediakan makanan dan kebendaan kepada anak-anaknya supaya mereka tidak terdedah kepada penyakit dan maut, maka lebih-lebih lagi bapa bertanggungjawab untuk memberi makanan ruh kepada mereka. Bapa tidak patut lalai daripada menunaikan tanggungjawab yang membawa kerosakan lebih dahsyat daripada kelaparan atau maut. Kelalaian pendidikan akan mendedahkan anak-anak kepada kematian hati atau ruhani. Kematian hati akan membawa kepada kerosakan yang berkekalan. Sebab itulah pendidikan sangat penting. Sabda Rasulullah SAW:

"Setiap orang adalah pengembala dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya." - Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari

Firman Allah SWT:

"Hai orang-orang yang beriman, periharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka." - Surah at-Tahrim: ayat 6

Ibu bapa diwajibkan mendidik anak-anak mereka agar taat kepada Allah SWT. Apabila anak-anak telah sampai kepada umur yang boleh menerima pengajaran iaitu tujuh tahun, mereka dididik agar menunaikan apa yang difardhukan Allah SWT. Ketegasan pula perlu digunakan ketika mereka berumur sepuluh tahun. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

"Latihlah anak-anak kamu menunaikan solah ketika berumur tujuh tahun, pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun." -Hadith Riwayat Bukhari

Suruhan memukul bukanlah bererti menganiaya atau menyiksa kanak-kanak. Bahkan memukul itu sebagai tanda kesungguhan bapa mentarbiyyah anak-anak lelaki dan perempuan mereka agar mentaati Allah . Ibubapa yang murabbi tentulah tidak sanggup membiarkan keingkaran anak-anak lahir begitu sahaja tanpa dihukum.

Rasulullah SAW ada menegaskan bahawa, pada kebanyakan keadaan, pergaulan ibu dengan anak-anak kecil lebih memberi kesan daripada pergaulan dengan bapa.

Sekolah pula berperanan untuk mendidik pelajar lelaki dan perempuan dengan nilai-nilai Rabbani. Tidak mencukupi jika sekolah hanya memberikan ilmu pengetahuan, kemahiran kebendaan dan ilmu kehidupan, kemudian meninggalkan mereka teraba-raba serta jahil tentang isu kewujudan yang hebat dan mengkagumkan.

Mereka ditinggalkan dengan soalan-soalan yang tidak dibekali jawapan-jawapan seperti “Dari mana kita datang? Siapa yang menjadikan kita?, Mengapa kita dijadikan?, Ke mana kita akan pergi selepas kehidupan dunia ini?, Apakah itu risalah Islam dan siapakah yang menentukannya?, Apakah balasan bagi orang yang menunaikan ajaran Islam? dan Apakah balasan bagi orang yang mengingkari ajaran Islam?

Hanya keimanan kepada Allah SWT sahajalah yang dapat menjawab segala persoalan di atas dengan jawapan-jawapan yang yakin dan menenangkan hati. Itu keimanan hakiki yang ditentukan oleh Islam. Jawapan yang berasaskan iman akan terselamat daripada kesilapan manusia, keraguan, lintasan hati yang salah dan pertentangan fikiran.

Sekolah yang tidak menanamkan keimanan kepada jiwa pelajar-pelajar akan melahirkan generasi yang gelisah dan mempunyai unsur penentangan dalam diri. Generasi ini akan mengharung gelombang hidup dengan rasa resah dan gelisah. Tanpa panduan dan petunjuk, sudah tentu mereka akan bertambah sesat dan tidak menjumpai jalan pulang iaitu jalan yang lurus.

Wallahu A'lam

Doa, Tasbih, Selawat Mampu Ubah Ketetapan Nasib

SALMAN meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawasanya Baginda bersabda: " Tidak ada yang menolak ketetapan selain doa."

Daripada Abdullah bin Umar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: " Barang siapa yang dibukakan baginya pintu doa, maka dibukakanlah baginya pintu rahmat, tidak ada permintaan yang lebih disukai daripada seorang meminta kesihatan dan bahawasanya doa bermanfaat untuk perkara yang sudah terjadi mahupun belum terjadi dan tidak ada yang menolak ketetapan selain doa maka berdoalah kamu wahai hamba Allah ."

Setiap ketetapan boleh berubah dengan:

- Doa yang menjadi amalan serta;

- Sedekah, sebagaimana diriwayatkan daripada Ali bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah mencegah ketetapan yang sudah dikukuhkan."

- Kriteria ketiga yang boleh mengubah ketetapan ialah tasbih

- Keempat adalah memperbanyak membaca selawat kepada Nabi.

- Kelima, takwa yang menjadi syarat paling kuat untuk memperoleh kebaikan dan mencegah keburukan dari jalan yang tidak dihitungkan.

Allah berfirman bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari segala kesulitan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak dihitungkannya." (Surah at-Thalaq, ayat 2-3)

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar bagi segala kesulitan, kelapangan dari segala kegundahan dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diperhitungkannya."

Seorang lelaki mengadu kepada al-Hasan al-Bashri mengenai hal kekeringan, maka beliau berkata: "Beristighfarlah.” Kemudian datang orang lain kepadanya mengadukan perihal kefakiran, beliau berkata: "Istighfarlah.”

Kemudian datang lagi seorang yang mengadukan kebunnya yang kering, maka beliau berkata: "Istighfarlah.” Selepas itu datang seorang yang mengadukan ingin mempunyai keturunan, maka beliau berkata: " Istighfarlah.”

Beliau membacakan kepada mereka firman Allah bermaksud: "Maka Aku berkata: "Minta ampunlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menurunkan hujan bagimu dari langit. Memberimu harta yang banyak, keturunan dan menjadikan bagimu taman-taman dan sungai-sungai." (Surah Nuh, ayat 10-12)

Friday, August 8, 2008

Betul Ke Pelihara Ikan Boleh Elak Ilmu Pukau?

Soalan

Ustaz, terlalu banyak kejadian kecurian di rumah atau premis perniagaan, pencuri memasuki bangunan tersebut dengan menggunakan apa dipanggil ilmu pukau. Betulkah ada ilmu pukau? Sehinggakan yang tidak tidur pun dipukau juga? Ada kepercayaan bahawa untuk mengelakkan pukau, maka hendaklah dipelihara ikan di dalam rumah. BEtulkah ini ustaz dan bolehkah diamalkan?

FIRDAUS ABDULLAH
Kota Raja, Selangor

Jawapan

Saya secara peribadi kurang arif fasal pukau. Kata orang , pukau adalah untuk membuat orang yang sedang tidur, akan tidur semakin nyenyak sehingga tidak disedari apa yang berlaku di sekelilingnya.

Ada juga dikatakan, dipukau orang yang sedang sedar, boleh berdialog dengannya tetapi dikuasai minda orang itu sehingga boleh menurut apa sahaja kehendak orang yang memukaunya tanpa daya melawan atau berlepas diri daripadanya.

Hal-hal sebegini acap kali didedahkan kepada saya. Oleh itu sebagai kesimpulan, hal-hal sebigini memang boleh berlaku dalam masyarakat kita. Pukau ini sebenarnya, suatu ilmu atau teknik yang digunakan seperti mana di Barat. Ia dinamakan sebagai ‘hypnotism’ atau disebut dengan istilah ‘hypnotic’.

Kamus dewan merujuk ‘hypnotism’ sebagai memukau atau terpukau, sama juga dengan ‘hypnotic’ yang disebut sebagai renungan yang memukau.

Umum mengetahui bahawa ‘hypnotism’ ada suatu teknik penguasaan diri sendiri melalui beberapa latihan kerohanian dan teknik memandang ke arah sesuatu perkara atau objek termasuk manusia.

Dikatakan boleh berlaku dengan pancaran kekuatan dalaman orang yang mengamalkan ‘hypnotism’ ini, boleh mendatangkan suatu tenaga khusus baginya untuk menguasai orang lain.

Ia termasuk menidurkan orang yang sedang sedar atau menguasai fikiran orang itu dengan tenungan dan kadang-kadang dengan hembusan. Teknik hembusan juga termasuk dalam salah satu cabang ilmu sihir dengan kekuatan kuasa hembusan yang dikaitkan dengan asosiasi (perhubungan) dengan makhluk halus, maka berlaku penguasaan sepenuhnya atau sebahagian ke atas seseorang.

Amalan menggunakan pandangan mata sehingga berlaku suatu proses pukau, jika dilihat pada pandangan syarak, kita dapati bahawa ada isyarahnya dalam as-Sunnah.Antara lain Rasulullah s.a.w. ada menyebut tentang pandangan mata seperti dalam hadis (mafhumnya):

Ibnu Abbas r.a berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Bahawa pandangan mata yang mengakibatkan sesuatu keburukan adalah benar (boleh berlaku). Andainya ada sesuatu yang seolah-olah mendahului al-­Qadar, maka didahului oleh pandangan mata.”

Dalam hadis lain Abu Hurairah berkata (mafhumnya): “Nabi pernah menyebut al-‘ain (pandangan mata) adalah benar (boleh berlaku).” (Sahih Bukhari Muslim)

A1-Hafiz Ibnu Hajar dalam ulasannya tentang hadis-hadis ini menyebut bahawa pandangan mata seseorang itu ke atas sesuatu, boleh mendatangkan hasad dengki kepadanya, lalu ditemukan objek itu di samping tabiat buruknya muncul, boleh mendapat kemudaratan kepada yang dilihat.

Ash-Syanthiti pernah menyebut bahawa, jiwa-jiwa yang kotor mempunyai kesan yang kotor juga kepada yang dilihat.

Semuanya ini selari dengan apa yang disebut oleh Allah SWT yang mafhumnya:

“Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka tatkala mereka mendengar al-Quran dan mereka berkata: “Sesungguhnya (Muhammad) itu benar-benar gila.” (Surah al-Qalam, ayat 51)

Ayat mi menjadi rujukan kepada hal-hal penyakit yang berpunca daripada pandangan atau renungan mata. Malah dalam beberapa hadis lain menga­takan ‘unta boleh masuk ke dalam periuk kerana pandangan mata’. Maksudnya unta boleh mati, tapi disembelih dan dijadikan hidangan makanan.

Demikian peranan mata. Oleh itu hal-hal pukau memukau mi, termasuk dalam amalan yang tidak diharuskan oleh syarak. Lagipun digunakan ilmu pukau untuk tujuan keburukan seperti merompak, mencuri dan sebagainya.

Sememangnya apabila berlaku sesuatu yang tidak baik, ada pencegahnya. Disebut dalam perubatan, sebagai vaksin. Saya sendiri tidak pasti apakah dengan membela ikan boleh menghalang atau menghadang dari berlakunya pemukauan.

Pada pemerhatian saya, apa yang berlaku, ada rumah yang membela ikan, dimasuki pencuri dan tuannya sedar. Ada pemilik sebuah kedai ikan (kenalan saya), menjual ikan-ikan hiasan di rumah termasuk ikan kelisa, dicuri orang dalam keadaan beliau dan pekerjanya sedar, tetapi dicuri di hadapan mata.

Sukar untuk dipercayai, sekadar membela ikan boleh menghindari kejadian seperti itu. Bagaimanapun untuk menghindarinya, lebih baik kita rujuk kepada amalan-amalan sunnah.
Seperti yang pernah disebut Nabi (maf­humnya), bahawa sesiapa yang memakan tujuh biji ajwah (tamar madinah), maka dia tidak akan terkena sihir.

Kesimpulannya untuk menghindarkan diri dari sihir atau ilmu pukau, lakukan amalan berikut setiap hari;

1. Baca doa berikut:


“Dengan nama Allah, tidak akan berlaku kemudaratan di samping nama-Nya itu, sesuatu yang turun dari langit atau dari bumi, dan Dialah Allah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

2. Ayatul Kursi

3. Al-Muawwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq & an-Naas)4. Berniat lakukan amalan di atas agar Allah hindarkan dari apa jua bahaya.

Inilah amalan yang diterima oleh syarak.

Waalahu a’lam.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Awasi Unsur Syirik Jika Guna Kayu Koka

Soalan

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,Damansara, Selangor

Jawapan

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.
Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.
Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.
Persoalan saya tentang pengguna kayu koka atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."

Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

Wallahua'lam.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Benarkah Ruh Orang Yang Telah Meninggal Dunia Boleh Menziarahi Anggota Keluarganya

Soalan

Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?

ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?

iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Hamimah AbdullahBanting, Selangor.

Jawapan

Puan,

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur.

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud), "Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia."

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali.

Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia."

Ayat al-Quran lain ada menyebut, "Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat."

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.

Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebuttanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.

Waallahu'alam.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Doa Mohon Kesembuhan Daripada Penyakit


Thursday, August 7, 2008

Terap Istiqamah Dalam Keimanan Dan Amalan

Kecewa, mudah bosan penyakit berbahaya melenyapkan harapan capai kemajuan

MENJADI idaman setiap Muslim berkeinginan mengecapi kecemerlangan hidup bukan saja di dunia malah di akhirat. Namun, untuk memperolehnya seseorang itu hendaklah terlebih dulu berusaha keras meningkatkan keimanan walau apapun dugaan atau halangan yang datang.

Kecewa dan mudah bosan memang penyakit sangat berbahaya dan mampu melenyapkan harapan untuk mencapai hidup maju. Perasaan itu mesti dilontarkan sejauh-jauhnya. Inilah sifat istiqamah yang sewajarnya menjadi identiti bagi setiap muslimin supaya tidak hanyut mengikut nafsu.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Oleh yang demikian, maka ajaklah (mereka) dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintah, dan janganlah engkau turut hawa nafsu”. (Surah as-Syura, ayat 15)

Sehaluan dengan perintah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Katakanlah: Aku percaya kepada Allah kemudian berlaku lurus (istiqamah).” (Hadis riwayat Muslim)

Istiqamah seharusnya diterapkan dalam segala bidang pekerjaan kerana bekal keimanan serta sifat berhubung kait dengan hati dan ibadat membolehkan seseorang itu melihat segala kebaikan atau keburukan yang datang daripada sudut pemikiran rasional.

Sewajarnya apabila kecundang dalam sesuatu yang diperjuangkan, sama sekali tidak boleh menyalahkan takdir bahkan sehingga ada yang tergamak beranggapan bahawa Allah sudah benci kepadanya.

Sebaliknya, lihat pada diri sendiri, selidik dan teliti apa kekurangan atau kecacatan supaya dapat diperbaiki dan meneruskan usaha dengan akal sihat, subur, akhirnya bertawakal kepada Allah . Anggaplah kekalahan itu sebagai ujian Allah yang perlu dihadapi penuh kesabaran dan keimanan.

Dengan itu, mudah-mudahan tidak berulang lagi kegagalan yang sama dalam hidup. Di sinilah seseorang perlu kepada sifat istiqamah. Sesungguhnya orang yang mengaku beriman itu tetap diuji Allah untuk mengukur sejauh mana kekentalan iman di dadanya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Umat Islam perlu tekun mematuhi perintah Allah untuk mengharungi kehidupan masa kini selain memastikan diri sentiasa beristiqamah kerana mereka yang beristiqamah akan mendapat rahmat Allah .

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan bahawasanya jika mereka tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak.” (Surah al-Jin, ayat 16)

Dr Hamzah Ya’qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah dengan hati, lisan dan perbuatan.
Istiqamah dengan hati bermaksud teguh iman, mempertahan kejujuran dan sifat mazmumah lain. Mereka yang memiliki iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.

Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu. Firman Allah yang bermaksud:

“Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam penghidupan dunia dan akhirat.” (Surah Ibrahim, ayat 27)

Akhir sekali, istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga berjaya.

Ketiga-tiga tingkatan tadi, tidak boleh tidak wajib dimiliki setiap orang yang beriman kerana ia adalah salah satu antara ciri orang mukmin yang akan membuahkan keuntungan dan kemenangan di dunia serta akhirat.

Allah memberi khabar gembira kepada orang istiqamah melalui firman yang bermaksud:

“Sesungguhnya mereka yang mengakui Allah Tuhan kami, kemudian berlaku lurus (istiqamah) akan turun malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata: Jangan takut dan jangan berduka cita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu.” (Surah Fushshilat, ayat 30)