Monday, July 14, 2008

Ust. Abu Hisham Al-Besuty : Keagungan Allah Melalui Musyahadah

Alhamdulillah dengan izin Allah dapat saya kembali mengisi ruangan Tazkirah kali ini dengan ulasan dari Kuliah Tafsir oleh Ust. Abu Hisham Al-Besuty tentang kekuasaan Allah melalui penciptaan alam ini. Beliau telah menjelaskan bahawa penciptaan alam ini telah dirakamkan oleh Allah didalam al-quran dalam surah An-Naba' ayat 9-16 seperti berikut :

"Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat," ayat 9

"Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian," ayat 10

"Dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan," ayat 11

"Dan Kami bangun di atas kamu tujuh buah (langit) yang kukuh," ayat 12

"Dan Kami jadikan pelita yang amat terang (matahari)," ayat 13

"Dan Kami turunkan dari awan air yang banyak tercurah," ayat 14

"Supaya Kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan," ayat 15

"Dan kebun-kebun yang lebat?" ayat 16

Menurut beliau, ayat ini menerangkan tentang kekuasaan Allah swt yang mana berlakunya kejadian siang dan malam, kejadian tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, kejadian hujan yang diturunkan untuk membasahi bumi, justeru itu dapat memberi penghidupan kepada tumbuh-tumbuhan.

Allah menjadikan siang adalah untuk makhlukNya mencari rezeki agar dapat melangsungkan kehidupan di atas muka bumi ini. Oleh yang demikian, jarak diantara waktu solat suboh dan waktu solat zohor dipanjangkan untuk umat manusia mencari rezeki yang secukupnya.

Kejadian malam pula, adalah untuk manusia beristirehat setelah berpenat lelah mencari rezeki di siang hari. Betapa indahnya kejadian siang dan malam yang telah disusunaturkan oleh Allah swt untuk makhlukNya di muka bumi ini. Ini adalah fitrah yang telah ditetapkan dan bagi manusia yang melanggar fitrah ini akan menyebabkan akan berlaku kecelaruan hidup.

Ust. Abu Hisham juga menerangkan bahawa kejadian 7 petala langit yang tidak bertiang menunjukkan betapa hebatnya kekuasaan yang dimiliki oleh Allah swt. Perkataan "Samaa' " iaitu langit yang dirakamkan didalam ayat itu, adalah merupakan perkataan Jama' dalam bahasa arab atau plural adalah disebabkan terdapatnya penghidupan lain diantara satu lapisan langit dengan lapisan yang lain. Ini telah dinyatakan di dalam Al-Quraan dalam peristiwa Israk dan Mikraj baginda kita Rasulullah s.a.w yang telah di angkat sehingga ke sidratul muntaha untuk mengadap Allah swt. Di setiap lapisan langit terdapat malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk beribadat kepadaNya. Ini berbeza dengan kejadian bumi yang juga mempunyai 7 lapisan dimana setiap lapisan tidak mempunyai kehidupan seperti langit.

Saban hari kita menyebut Allahu Akbar (Allah Maha Besar) pada setiap kali kita mendirikan solat. Malangnya kebesaran Allah masih belum meresap dan menyelera di dalam jiwa sanubari kita.

"Intipati atau ciri-ciri keimanan ialah merasakan kebesaran dan keagungan Allah di dalam diri setiap masa dan ketika dalam semua keadaan. Pendek kata tebal atau nipisnya iman seseorang bergantung kepada bagaimana dia merasakan kebesaran Allah di dalam hatinya. Keyakinan dan keimanan terhadap Allah menjadi pendorong untuk melakukan ibadat sebagai pengabdian diri kepada-Nya." ujar beliau.
Allah menjadikan, memiliki dan memerintah sekalian alam ini. Malahan diri kita juga adalah kepunyaanNya. Oleh itu semestinyalah kita mengabdikan diri kepadaNya serta sentiasa meminta pertolongan daripadaNya.

Allah berada di mana saja kita berada. KekuasaanNya sangat hampir dengan diri kita malahan ia lebih hampir dengan urat nyawa kita. Terlalu hampir Allah dengan kita sehinggakan kita tidak merasakan kewujudanNya. Di sinilah letaknya kejahilan dan kecuaian yang serius yang tidak sepatutnya kita lakukan. Kesombongan dan keangkuhan menjadi semakin teruk apabila kita bergelumang dengan maksiat yang menyebabkan kita menjadi semakin 'jauh' dengan Allah.

Meskipun Allah sangat/terlalu hampir tetapi dosa kita menjadi 'hijab' yang melindungkan kita dari merasakan kebesaran dan kewujudan Allah Yang Maha Agung. Hakikat ini kita boleh rasakan sendiri. Orang lain tidak dapat menilai sejauh mana keakraban kita dengan Allah yang mencipta kita. Cuma orang dapat melihat dan menilai diri kita secara zahir. Jika kita taat kepada Allah dalam suruhan dan laranganNya bermakna hubungannya rapat dengan Allah. Sebaliknya jika selalu melakukan maksiat bererti dia jauh dengan Allah. Allah tidak suka kepada orang yang zalim dan membuat maksiat. Dari segi batinnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Beliau membuat kesimpulan bahawa oleh sebab iman menjadi asas kepada keislaman seseorang, perlulah kita mencari jalan untuk merasa dan menghayati kemanisan iman. Kemanisan iman boleh diusahakan melalui dua jalan iaitu musyahadah dan muraqabah.
Kesemua objek sama ada yang hidup atau bukan hidup adalah ciptaan Allah. Ia menjadi bukti tentang wujudnya Allah. Tanpa Allah, alam ini tidak akan wujud. Ia tidak akan jadi dengan sendiri. Oleh itu untuk merasakan kehebatan Allah, perlulah kita menyendiri sekali-sekala melihat keajaiban alam dan isinya. Betapa hebatnya Allah menjadikan setiap sesuatu. Allah jadikan manusia pelbagai bangsa dan rupa. Allah menjadikan organ-organ dalam diri kita dengan fungsi masing-masing. Allah menjadikan haiwan pelbagai jenis. Allah menjadikan tumbuhan, ada yang berbuah, berbunga, berduri serta berlainan jenis dan rasa. Demikian juga Allah menjadikan siang dan malam serta cakrewala yang menjadi perhiasan alam. Semua ini menjadi petanda kebesaran Allah yang menuntut kita memerhati dan ber'musyahadah' untuk menguatkan keimanan kita terhadap Yang Maha Besar.

Kita lihat pula sifat setiap objek tersebut. Ada yang manis, tawar, pahit, masin, jahat, baik, panjang, lebar, licin, kesat, bulat, lonjong, berduri, berwarna-warni, kaya, miskin, hina, mulia, gagah, lemah, dan lain-lain lagi yang tidak mungkin dapat kita catatkan meskipun habis dakwat sebanyak air lautan digunakan. Duduklah sendirian dan menungkan hakikat ini; insyallah kita akan merasakan betapa agung dan hebatNya Allah yang menciptakan segala-galanya sama ada di langit, di bumi dan di dalam lautan.

Kemudian kita lihat pula gelagat manusia dengan pelbagai pekerjaannya. Ada yang bertukang, berlari, bermain, memasak, menyapu, mencuri, menyamun, berenang dan sebagainya. Segala bentuk perbuatan mereka adalah gerakan dari Allah. Namun kita tidak boleh sandarkan perbuatan jahat mereka dari Allah kerana manusia diberikan pilihan untuk melakukan yang baik atau jahat. Allah berikan akal kepada manusia untuk mereka lakukan yang baik saja. Malang sekali jika setelah diberikan akal, kita masih melakukan yang buruk dan dibenci oleh Allah.
Dengan musyahadah iaitu memikirkan segala yang tersebut di atas, akan menambahkan keyakinan kita terhadap Allah. Dialah yang mentadbir alam ini. Dia juga yang menghidup dan mematikan manusia. Apa yang Allah kehendaki tetap berlaku meskipun dibenci oleh manusia.

Apa yang Allah tidak kehendaki tetap tidak akan berlaku meskipun semua manusia ingin kepadanya. Ibarat ayam sereban kepunyaan kita, kita berhak buat apa saja dan orang lain tidak boleh peduli sama ada kita hendak potong atau terus memeliharanya. Begitulah Allah dengan makhluk ini. Dia boleh melakukan apa saja terhadap kita dan manusia lain tidak berhak komplain atas apa jua kehendak dan iradat Allah. Sebab itulah kita mesti berdoa dan bertawakkal kepada Allah di samping berusaha mendekatkan diri kepadaNya.

Konsep 'Allah berserta kamu di mana saja kamu berada' perlu dihayati serta diyakini setiap ketika. Kesedaran tentang konsep ini akan membuat kita rajin beribadat dan takut membuat maksiat. Inilah kunci atau intisari ilmu tauhid - pengesaan terhadap Allah dalam perbuatan, sifat dan zatNya.

Menyorot sejarah Nabi Muhammad saw beruzlah di Gua Hira' adalah menjadi satu bukti tentang perlunya kita bermusyahadah dalam mencari sesuatu ketenangan dan kebenaran. Baginda dilantik sebagai Rasul setelah menerima wahyu pertama di Gua tersebut.

Ulama pernah menyebutkan 'bertafakkur satu saat (dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun'. Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat memadai dengan tafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan beribadat.
Proses musyahadah perlu dilakukan secara konstan sehingga menjadi darah daging. Atau sehingga terasa benar di dalam diri kita tentang kebesaran Allah dan merasakan bahawa 'tidak ada sesuatu yang Allah jadikan secara sia-sia'. Kesemuanya ada hikmah yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya.

Musyahadah menjadi satu daripada beberapa jalan untuk mendapat 'iman'. Dengan iman ini kita akan berasa lazat berzikir, mencari ilmu agama, melakukan ibadat fardu, menambah dengan ibadat sunat serta berusaha mencari keredhaan Allah. Sebaliknya kita benci melakukan kejahatan sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka. Barulah ketika itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang rapat dengan Allah disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita.

Di samping melakukan proses musyahadah, kita perlu melakuakn muraqabah yakni menghampirkan diri terhadap Allah dengan melakukan segala amal fardu dan sunat. Amalan 'hablum min'Allah' (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia). Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.

Dalam hubungan ini, Allah sering mengingatkan kita supaya berjalan/melawat di muka bumi Allah dengan niat melihat kebesaran Allah sambil memerhatikan balasan yang Allah timpakan kepada mereka yang menganiaya diri mereka sendiri.

Semoga dengan coretan di atas dapat menjadikan diri kita khususnya diri saya sendiri orang yang sentiasa muhasabah diri dan bermusyahadah serta bermuraqabah mudah-mudahan kita diterima menjadi orang yang soleh yang bakal menghuni syurga di akhirat kelak.

Amin ya Rabbal Alamin.

Friday, July 11, 2008

Berfikirlah Untuk Akhirat

PADA hakikatnya kita sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita sentiasa berfikir mengenai pekerjaan kita. Kita berfikir mengenai cara meningkatkan prestasi kerja. Kita berfikir mengenai cara untuk mengatasi masalah yang di hadapi.

Selepas itu, kita berfikir pula mengenai cara mengekalkan prestasi yang baik. Akhirnya kita akan berfikir pula mengenai cara menghasilkan prestasi yang terbaik. Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir.

Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila berhadapan dengan masalah, misalnya ketika ditimpa musibah, ketika kesempitan wang, ketika sakit atau ketika kita hadapi kegagalan.

Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar juga usaha berfikir yang dilakukan. Dalam banyak waktu kita habiskan untuk berfikir per nahkah ada dalam fikiran kita mengenai hubungan kita dengan Pencipta? Bagaimana prestasi iman kita? Bagaimana jalan hidup yang sudah dan sedang serta yang akan kita lalui, adakah mengikut kehendak kita atau kehendak Pencipta?

Pernahkah kita berfikir untuk ‘menyemak’ batin kita, adakah di dalamnya jernih laksana titisan embun atau lakaran hitam yang kelabu dan berdebu dengan dosa? Bagaimana solat kita, puasa kita, anak-anak kita, suami atau isteri kita, sudahkah jelas kefahaman hamba Allah ?

Sudahkah matlamat kita selari dengan kehendak Pencipta? Sudah layakkah kita memegang ‘gelaran’ khalifah Allah yang mempunyai tugas besar sebagai ejen perubahan dalam ma syarakat?

Banyak-banyak maaf saya mohon kerana banyak sangat soalan yang ditanya. Kata orang kalau banyak sangat tanya dikata banyak ’songel’.

Katalah pun nak kata tetapi soalan yang ditanya sebenarnya sangat penting dalam kehidupan malah itulah penentu kita ini supaya beza antara hidup dan hidup-hidupan.

Semua soalan yang dilontarkan sebenarnya saya hendak kongsi mengenai kepentingan berfikir. Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Nah, betapa mahalnya nilai berfikir dan kesan yang di peroleh jika betul cara berfikir kita, berbanding ibadat begitu saja.

Berfikir sebenarnya adalah proses menyimpan, mengingat, menganalisis dan menyimpulkan berbagai-bagai maklumat yang ada di dalam dan luar diri kita sehingga menjadi idea dan akhirnya mendorong kita untuk bertindak.

Fikiranlah yang akan mengarahkan ke mana kita akan pergi dan bagaimana kita akan buat kerana dalam fikiran itu, seluruh keputusan, perencanaan serta konsep hidup di tentukan.
Malah, dengan pemikiran jugalah yang menjadi penentu kedekatan kita dengan Allah .
Satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Ketahuilah wahai Anas sesungguhnya orang yang bodoh itu lebih banyak tertimpa musibah kerana kebodohannya daripada orang jahat yang berakal. Sesung guhnya amat mudahlah seorang hamba mendekati Tuhannya dengan akalnya.”

Kata Napolean Hill: “ If a man is right, his world will be right.”

Jadi, dalam kesibukan kita mencari dunia jangan lupa memberikan waktu untuk berfikir. Bahagikan masa kita kepada empat waktu iaitu:

1). Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah .
2). Waktu untuk dia bermuhasabah mengenai dirinya.
3). Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan-ciptaan Allah .
4). Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.

Doa Dari Hadis Sohih : Khusus Elak Di Rogol & Cabul

Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.

Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah yang telah saya paparkan di artikel berkenaan Al-Marhumah Nurin Jazlin sebelum ini. Iaitu :-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ


وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ


مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ


DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Fikirkanlah.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Batalkah Solat Bersentuh Anak Bernajis?

Soalan
Assalamualaikum ustaz, Saya seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Saya pernah diberitahu bahwa solat akan terbatal sekiranya anak-anak yang membawa najis (memakai lampin) dan anak-anak yang belum berkhatan tersentuh pakaian kita semasa kita sedang sembahyang, apatah lagi jika tersentuh tubuh badan. Tetapi, saya pernah melihat ada orang yang terus solat apabila keadaan itu berlaku. Saya mohon penjelasan, adakah perselisihan pendapat dalam hal ini? Terima kasih.

- Ibu musykil -

Jawapan :

Menurut Mazhab Syafie bersentuhnya anak yang menanggung najis di dalam lampin atau belum bersunat dengan seseorang dewasa yang sedang solat adalah tidak membatalkan solat.

Keadaan yang seperti ini ada disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam Rawdah at-Tolobin dengan katanya : " Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasanya seperti kanak-kanak ) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA" (Rujuk Rawdah at-Tolibin, hlm 123 cet : Dar Ibn Hazm).

Pada hemat saya ini adalah kerana :-
a. Bersentuh itu tidak secara langsung dengan najis yang di tanggunginya. Jika secara langsung batallah solat seseorang tapi tidak wudhunya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tiada wudhu baru diperlukan.

b. Bersentuh secara tidak langsung dengan budak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau ia menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana kanak-kanak itu bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.

Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita menanggung kanak-kanak ini (ia disebut dalam mazhab Syafie sebagai : "Haamil limuttasil binajastin") sama ada dengan mendukungnya atau ia memanjat belakang kita semasa sujud atau ia duduk di atas riba semasa kita sedang duduk tasyahhud akhir. (Mughni Al-Muhtaj, 1/ 264 cet Dar al-Fikr )

Akan tetapi jika kita menanggung sesuatu najis lalu bertindak membuangnya dengan cepat, solat tidak dikira batal . Ia berdasarkan peristiwa para sahabat bersolat bersama Nabi SAW dan Nabi SAW bersolat dengan memakai selipar, lalu tiba-tiba mereka melihat Nabi SAW (semasa dalam solat) menanggalkan seliparnya, maka seluruh sahabat yang melihat keadaan ini turut menanggalkan selipar mereka (kerana menyangka ia adalah perbuatan yang mesti diikuti), maka apabila telah selesai solat nabi bertanya kepada para sahabat : " Apakah yang menyebabkan kamu menanggalkan selipar-selipar kamu ? : para sahabat menjawab : kerana kami melihat kamu melakukannya : nabi membalas : Telah datang kepadaku Malaikat Jibrail as lalu memberitahuku bahawa di seliparku terdapat kekotoran atau najis (maka aku tanggalkan kerana itu). (Riwayat Abu Daud , no 650 , hlm 92 : Shohih menurut Albani. cet : Bayt Afkar )

Dari hadith di atas jelas kepada kita jika dengan segara membuang penanggungan kita terhadap najis, maka solat tidak terbatal sebagaimana dengan sgeranya Rasulullah membuang seliparnya yang terdapat najis. Justeru, jika anak kecil yang menanggung najis duduk di atas riba kita dan dengan pantas kita mengelak, maka solat tidak batal. (Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji, bab perkara yang membatalkan solat)

Sekian

Ust Zaharuddin

Thursday, July 10, 2008

Perbezaan Ayat Makiyyah, Madiniyyah

KITAB suci al-Quran mengandungi 114 surah iaitu 86 surah Makiyyah dan 28 surah Madiniyyah. Jumlah ayatnya pula adalah 6,236 ayat iaitu 4,613 ayat Makkiyah dan 1,623 ayat Madiniyyah.

Ayat Makiyyah diturunkan di Makkah atau sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah.

Ayat Madaniyyah diturunkan di Madinah atau selepas Nabi berhijrah ke Madinah.

Perbezaan ayat Makiyyah dan Madiniyyah :

1). Ayat Makiyyah pada umumnya pendek-pendek, sedangkan ayat Madiniyyah panjang-panjang.

2). Surah Madiniyyah adalah 11/30 daripada isi al-Quran dan selebihnya, surah Makaniyyah.

3). Keseluruhan juz 28 adalah ayat Madiniyyah kecuali surah Mumtahinah dan ayatnya berjumlah 137. Juz 29 adalah ayat Makiyyah kecuali surah Ad-Dahr dan ayatnya berjumlah 431.

4). Surah al-Anfaal dan surah al-Syu’araa masing-masing setengah juz, tetapi yang pertama ayat Madiniyyah dengan bilangan ayat sebanyak 75, sedangkan yang kedua ayat Makiyyah dengan ayatnya berjumlah 227.

5). Dalam surah Madiniyyah ada perkataan "ya ayyuhalladzina aamanu" dan hanya sedikit perkataan “yaa ayyuhannaas“, sedangkan dalam surah Makiyyah pula adalah sebaliknya.

6). Ayat Makiyyah pada umumnya mengandungi hal berhubung keimanan, ancaman dan pahala. Begitu juga kisah umat terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti.

7). Ayat Madiniyyah pula mengandungi hukum, baik yang berhubungan dengan hukum adat atau duniawi, seperti hukum kemasyarakatan, ketatanegaraan, perang, hubungan antarabangsa dan antara agama.

Isi ajaran yang terkandung dalam al-Quran meliputi tiga fasa iaitu :

1). Cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya).

2). Peraturan masa kini (ketika al-Quran diturunkan).

3). Peraturan untuk masa depan (sejak masa Rasulullah saw, masa kini dan seterusnya hari kiamat).

Pelihara Solat Walau Dalam Apa Keadaan


FIRMAN Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 239)

Sayid Qutub berkata: Agama ini sungguh mengkagumkan. Ia adalah agama ibadat, iaitu ibadat dalam segala bentuk rupa dan solat itulah judul utamanya, dan menerusi ibadat manusia dapat sampai ke makam yang setinggi-tingginya.

Menerusi ibadat juga Allah mengukuhkan pendiriannya di dalam kesusahan dan mendidik dirinya dengan baik di dalam kesenangan dan kemewahan. Seterusnya melalui ibadat juga Allah memasukkannya ke dalam kedamaian dengan seluruh jiwa raganya dan melimpahkan ke atasnya nikmat keamanan dan kesejahteraan.

Mengancam

Oleh sebab itulah ibadat solat diberi perhatian yang begitu tinggi walaupun ketika pedang terhunus di tangan dan pedang musuh mengancam di lehernya.

Apabila berada dalam suasana aman, maka hendaklah mereka dirikan solat biasa yang diajarkan Allah kepada kaum Muslimin dan hendaklah mereka mengingati Allah sebagai bersyukur terhadap apa yang diajarkan Allah tentang hal-hal yang tidak diketahui mereka.

Firman Allah Taala: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, Al-Mawardi berkata: Ulama telah khilaf kadar solat mereka. Jumhur telah berpendapat dengan dua rakaat. Sedangkan al-Hassan satu rakaat sahaja jika dalam ketakutan.

Sayid Qutub berkata: Jika seseorang itu menghadapi ketakutan yang tidak memberi peluang untuk mendirikan solat dengan menghala ke kiblat, maka solat hendaklah ditunaikan terus tanpa terhenti. Dan di sini yang menunggang binatang dan yang berjalan kaki dan sibuk bertempur dan menghindari bahaya dibenarkan menghadap ke arah mana sahaja yang sesuai dengan keadaannya dan bolehlah ia membuat isyarat-isyarat yang ringan untuk sujud dan rukuk.

Solat ini berlainan daripada solat yang dinyatakan kaifiatnya di dalam surah an-Nisaa'. Kerana solat yang diterangkan di dalam surah an-Nisa’ itu adalah dikerjakan dalam keadaan, di mana kedudukan medan perang membenarkan diletakkan satu saf makmum yang mengawalnya, kemudian datang pula saf yang kedua pula bersembahyang serakaat sementara saf yang pertama yang telah telah bersembahyang kali yang pertama tadi berdiri mengawalnya.

Tetapi jika keadaan ketakutan itu bertambah dan pertempuran sedang berlaku, maka solat yang disebut dalam surah al-Baqarah di sini yang diamalkan. Perintah solat ini amat mengkagumkan. Ia menunjukkan bagaimana pentingnya solat pada pandangan Allah yang menyarankan kepada hati kaum Muslimin bahawa solat selaku senjata untuk menghadapi ketakutan dan kesusahan. Oleh sebab itu solat tidak seharusnya ditinggal di saat-saat ketakutan yang sedang memuncak.

Solat adalah senjata. Oleh kerana itu ia ditunaikan oleh pejuang Islam di medan pertempuran ketika pedang terhunus di tangannya dan ketika pedang (musuh) menghayun di atas kepalanya. Ia tetap menunaikan solat kerana solat adalah senjata Mukmin sama seperti pedang yang terhunus di tangannya. Solat adalah perisai Mukmin sama seperti perisai yang melindunginya. Ia menunaikan solat untuk berhubung dengan Allah di saat-saat yang paling diperlukannya, di saat-saat yang dirasakannya paling dekat kepada Allah , iaitu ketika ketakutan mengepung di sekelilingnya.

Firman Allah Taala: Kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),
Al-Baghawi berkata: Maksud zikrullah ialah solat lima waktu yang sempurna dengan segala haknya.

Ibnu al-Arabi berkata: Allah s.w.t. memerintahkan supaya solat dipelihara dalam segenap keadaan, sama ada ketika sihat, sakit, bermukim, bermusafir, ketika kuat, ketika lemah, ketika takut dan ketika aman. Kewajipan solat tidak gugur daripada orang yang mukalaf dengan apa keadaan sekalipun dan kefarduannya tidak terjejas sedikitpun.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Solatlah sambil berdiri, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil duduk, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil mengiring.

Baginda bersabda dalam hadis sahih daripada riwayat Ibnu Umar berkaitan solat ketika takut: Jika ketakutan itu lebih kuat daripada yang demikian, maka solatlah sama ada secara berdiri atau berkenderaan, menghadap kiblat atau tidak mengadap kiblat.

Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan solat khauf (semasa dalam ketakutan ) beberapa kali dengan pelbagai cara. Kami telah menyebutkannya secara terperinci dalam kitab-kitab hadis.

Tujuannya untuk memberitahu bahawa solat hendaklah didirikan bagaimana cara yang terdaya dan kewajipannya tidak gugur dalam keadaan apa sekalipun. Meskipun ia hanya mampu dilakukan secara mengisyaratkan dengan anak mata maka ia mesti dilakukan.

Begitu juga jika tidak mampu, digerakkan anggota tubuh yang lain. Dengan pengertian ini maka solat berbeza daripada ibadat-ibadat yang lain. Hal ini kerana ibadat yang lain gugur kewajipannya apabila terdapat keuzuran dan diberikan rukhsah (keringanan) yang lemah. Sebab itulah para ulama kami mengatakan solat ialah persoalan yang paling besar: Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat dihukum bunuh kerana solat menyerupai imam yang tidak boleh gugur dalam apa jua keadaan. Mereka menyatakan solat salah satu tunggak agama Islam yang tidak boleh digantikan dengan batang tubuh orang lain atau harta benda. Orang yang meninggalkannya perlu dihukum bunuh. Tunggak asalnya ialah dua kalimah syahadah.


Abu Hanifah mengatakan: Berperang menyebabkan solat itu menjadi rosak (batal). Kami telah menolak pandangannya dengan mengemukakan dalil melalui jalan periwayatan Ibnu Umar dan keterangan zahir ayat al-Quran ini merupakan dalil terkuat yang dapat menolak pandangan beliau.
Sonhaji berkata: Tetapi jika telah berada dalam keadaan aman kembali atau tidak berada dalam ketakutan lagi maka sembahyanglah seperti biasa. Sebutlah dan ingatlah kembali kepada Allah .

Firman Allah Taala: Sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Al-Alusi berkata: Faedah menyebut maf’ul fih di sini sekalipun manusia tidak mengetahui kecuali apa yang tidak diketahui secara jelas dengan menyebut keadaan jahil yang berpindah daripadanya. Maka ia lebih nyata dalam kurniaan.

Sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu apa yang kamu tidak ketahui yakni mengisyaratkan bahawa Allah mengurniakan kita nikmat ilmu pengetahuan, kalaulah tidak dengan adanya hidayat dan tunjuk ajar-Nya tiadalah dapat kita mengetahui sesuatu. Maka kepada-Nya terserah segala pujian.

Iktibar Ayat :
- Solat tidak gugur dalam apa jua keadaan sekalipun.
- Solat merupakan ibadat yang mulia sebagai hubungan antara hamba dengan tuhannya.
- Pensyariatan solat khauf semasa dalam ketakutan atau peperangan menandakan kepentingan solat.

Tanda Solat Dan Sujud Di Wajah ?

Soalan

Melaksanakan solat yang menjadi tiang agama hakikatnya, mendatangkan ketenteraman jiwa dan kebahagian hidup, sekali gus terpancar di wajah. Bagaimana boleh dibuktikan menerusi ayat al-Quran dan sunah Rasulullah SAW?

Jawapan UZAR

Benar solat adalah tiang dan asas kepada agama berdasarkan hadith:

رأس الأمر الاسلام وعموده الصلاة

Ertinya : "Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat" (Riwayat Ibn Majah dan An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra; Al-Albani dan Al-Arnauot : Hadis sohih )

Ia juga jika ditunaikan dengan ilmu dan khsuyu'nya adalah menghasilkan rasa kemanisan iman dan ketenangan sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w

حبب إلي من دنياكم الطيب والنساء وجعلت قرة عيني في الصلاة

Ertinya : "Aku suka terhadap beberapa perkara dalam dunia kamu, iaitu wangian, wanita (iaitu dalam meningkatkan martabatnya berbanding menjadi barang mainan dan dagangan di zaman Jahiliyah) dan dijadikan ketenangan dan kenikmatanku di dalam solat"( Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Adapun berkenaan ketenangan yang terpancar di wajah pula adalah petikan dari Al-Quran ketika menerangkan sifat mereka yang bersama perjuangan Nabi s.a.w :-

تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ

Ertinya "..kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keridaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. (Al-Fath : 29)


Imam Fakhruddin Al-Razi menyatakan terdapat dua pendapat dalam mentafsirkan tanda ini ( At-Tafsir Al-Kabir, 28/93 ) :-

Pertama : Tanda itu akan ternampak di akhirat kelak sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 106 " Di hari yang Allah memutih dan menggelapkan wajah" dan juga dari surah At-Tahrim ayat 8.

Kedua : Tanda ini akan terzahir di dunia lagi. Terdapat dua kemungkinan yang disebut,

a) Bekas sujud ini adalah tanda hitam di dahi. Namun perlu diingat ada sebahagiannya memang hitam kerana banyaknya sujud, namun banyak sujud belum tentu diterima solatnya. Manakala ada yang hitam sebab-sebab lain.

Justeru secara umumnya, tanda hitam di dahi, boleh membawa erti tanda sujud yang banyak dan lainnya. Jika tanda sujud itu diiringi dengan sifat-sifat mahmudah dirinya dan wajahnya yang menepati ciri kedua di bawah, lalu ia kemungkinan besar tanda yang benar.

b) Satu tanda yang Allah zahirkan di wajah orang yang sujud dari raut yang bercahaya, kelihatan tenang dan menyenangkan. Tanda inilah yang disebut terdapat pada wajah baginda Nabi, para sahabat dan lain-lain ulama.

Sahabat besar nabi seperti Ibn Abbas pula menjelaskan maksud tanda itu dengan katanya ( Tafsir Ibn Kathir, 4/205 ; Ad-Durr Al-Manthur, As-Suyuti, 7/453 ) :-

a- Raut yang baik dan menyenangkan, taqwa dalam urusan agamanya dan pemalu. ( Riwayat Al-Baihaqi dan Ibn Mardawaih)

b- Wajah putih bercahaya di hari kiamat ( Riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh)

Sudah tentu wajah ini cukup berbeza dengan wajah penzina, orang yang meninggalkan solat, pelaku dosa yang kelihatan gelap walaupun wajahnya berkulit cerah. Inilah beberapa nas dari begitu banyak himpunan nas yang menerangkan berkenaan kesan hebat dari solat kepada umat Islam seluruhnya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
16 April 08